Kesan Pandemik COVID-19 Terhadap Pendidikan di Malaysia

Penulisan daripada: Ahmad Farhan Bin Mohamad Napi

Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia sudah menghadapi pandemik COVID-19 hampir dua tahun. Kesan yang dibawakan oleh pandemik ini melibatkan ramai pihak daripada seluruh peringkat umur dan pekerjaan, daripada kanak-kanak kecil hingga para Menteri yang menguruskan sistem pendidikan negara pada hari ini.

Kesan yang paling ketara dapat dilihat pada sistem pendidikan negara adalah apabila sekolah-sekolah terpaksa ditutup bagi mengelakkan penyebaran virus COVID-19 dalam kawasan persekolahan.

Langkah ini dilakukan berperingkat pada awal mulanya, iaitu bermula dengan pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan kemudiannya pelajar universiti. Bagi memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran antara guru/pensyarah dan pelajar dapat diteruskan, beberapa langkah telah diambil. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka digantikan dengan sesi PdP secara atas talian menggunakan aplikasi Google Meet, Zoom dan sebagainya. Pada peringkat nasional, kesan yang dihadapi oleh para pelajar dapat dilihat pada akhir tahun 2020 dimana buat pertama kalinya ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditangguhkan ke awal tahun 2021.

Walaupun sistem pembelajaran kini telah ditambah baik seiring dengan keadaan semasa, namun masih terdapat beberapa golongan yang masih terpaksa menghadapi kesukaran. Terutamanya dalam kalangan penduduk di luar bandar sebagaimana yang dapat dilihat pada Perintah Kawalan Pergerakan terdahulu, tular di media sosial seorang pelajar Sabah yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan talian internet untuk menjawab peperiksaan pengajian tinggi.

Kerajaan dan beberapa NGO sukarelawan peka akan isu ini dan telah menghulurkan bantuan prasarana kepada pelajar dan ibu bapa yang terkesan, berupa komputer riba dan bantuan telefon bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan baik.

Namun begitu, usaha-usaha yang dilakukan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Walaupun pihak guru, kerajaan dan pelbagai NGO telah dijalankan, diharapkan semoga para pelajar dan mahasiswa juga tetap bersemangat meneruskan pembelajaran pada saat semua pihak sedang bergelut dengan pandemik ini.